MANFAAT SKIM UNIT TRUST

Bagi pelabur yang tidak mempunyai kemahiran mahupun masa untuk membuat penyelidikan dan analisis pasaran pelaburan, Skim Unit Trust adalah satu cara ideal untuk melabur.

Untuk mengendalikan portfolio pelaburan yang dipegang secara langsung, seseorang individu perlu mengetahui maklumat dan sentiment terkini. Dalam pasaran kewangan hari ini yang bergerak pantas dan semakin canggih, ini bermakna dia perlu sentiasa mengikuti perkembangan pelbagai maklumat daripada pelbagai sumber. Bagi kebanyakan pelabur individu, ini agak sukar dilakukan, malah memerlukan masa dan kos yang tinggi.

Melabur dalam Skim Unit Trust dapat mengalihkan sebahagian besar beban tekanan pelaburan kepada mereka yang mahir mengendalikannya, iaitu pengurus tabung profesional.

Terdapat beberapa manfaat penting lain dalam pelaburan Skim Unit Trust yang perlu diambil perhatian:

Kepelbagaian

Pengumpulan tabung yang lebih besar membolehkan pengurus tabung menguruskan Skim Unit Trust untuk membeli pelbagai jenis pelaburan. Tanpa mengehadkan portfolio pelaburan kepada satu atau dua pelaburan, satu portfolio yang merangkumi pelbagai pelaburan boleh dipegang. Dengan itu, pelabur Skim Unit Trust boleh mendapat manfaat daripada ‘kesan portfolio’, iaitu pada umumnya, semakin banyak bilangan pelaburan, maka semakin kurang kadar turun naik pulangan pelaburan tersebut. Dengan kata lain, bagi pelabur yang tidak mampu membuat pelbagai jenis pelaburan kerana simpanan yang terhad, pelaburan dalam Skim Unit Trust menawarkan kepelbagaian dengan risiko pelaburan yang minimum.

Cara Mudah Untuk Membeli Dan Menjual

Kebanyakan pelabur menghendaki pelaburan yang mudah tunai, iaitu pelaburan tersebut mudah dijual dalam jangka masa yang pendek. Skim Unit Trust memberikan manfaat ini kerana unit boleh dibeli dan dijual dengan mudah melalui Syarikat Pengurusan Unit Amanah, Penasihat Institusi Unit Amanah, Penasihat Korporat Unit Amanah dan Perunding Unit Amanah. Pelaburan yang dijangka memberikan pulangan lumayan tetapi tidak boleh dijual, tidak semestinya pelaburan yang baik kerana paras mudah tunai yang sangat rendah merupakan faktor risiko tambahan bagi pelabur.

Mengikut Garis Panduan Tabung Unit Amanah, Syarikat Pengurusan Unit Amanah perlu membayar hasil daripada belian balik unit kepada pemegang unit secepat yang mungkin, selewat-lewatnya dalam tempoh 10 hari selepas menerima permintaan bagi belian balik tersebut.

Pengurusan Profesional

Pengurus tabung yang membuat keputusan pelaburan bagi pihak pelabur Skim Unit Trust terdiri daripada golongan professional. Latihan dan latar belakang mereka dapat memastikan proses pelaburan yang diterima pakai oleh Skim Unit Trust adalah berstruktur dan mematuhi prinsip pelaburan asas. Skim Unit Trust menggunakan pengetahuan dan pengalaman daripada kakitangan yang mahir untuk membuat pelaburan. Dalam jangka masa panjang, kepakaran beginilah yang dapat menghasilkan pulangan pelaburan yang lebih baik daripada biasa untuk pelabur Skim Unit Trust.

Terdapat kakitangan yang mempunyai pengalaman dan kemahiran yang lain yang dapat memberikan manfaat kepada pelabur Skim Unit Trust, sebagai contoh, kakitangan khidmat pelanggan, pakar perakaunan dan cukai dan sebagainya.

Pendedahan Pelaburan

Bagi pelabur kecil, ada kalanya mereka sukar untuk mendapatkan pendedahan kepada kelas aset tertentu atau sekuriti tertentu. Sebagai contoh, jika pelabur mempunyai RM 1,000 dan ingin melabur dalam harta tanah, pasaran sekuriti antarabangsa atau bon korporat, maka agak mustahil baginya untuk memegang pelaburan langsung dalam mana-mana atau semua pasaran ini. Manakala dengan Skim Unit Trust, pelabur berkemungkinan besar dapat melaburkan simpanannya dalam salah satu pelaburan ini atau dalam gabungan semua pelaburan ini. Oleh itu, pelabur dapat menyesuaikan pendedahan pelaburannya untuk memenuhi objektif mereka.

Kos Pelaburan

Apabila membuat pelaburan langsung, pelabur kecil perlu menanggung kos urus niaga, contohnya, komisen broker saham yang lebih tinggi daripada apa yang dibayar oleh pelabur institusi yang besar seperti pengurus tabung Syarikat Pengurusan Unit Trust. Disebabkan pengurus tabung Syarikat Pengurusan Unit Trust melabur dalam jumlah yang besar bagi pihak Skim Unit Trust, maka wujudlah ekonomi ikut bidangan. Selain itu, disebabkan pengurus tabung melabur dalam jumlah yang besar, maka mereka boleh mendapat kadar pulangan institusi dan pelaburan, yang mungkin pelabur kecil tidak boleh mendapatnya ataupun mendapatnya secara terhad. 

Contohnya, pelabur kecil tidak boleh melabur secara langsung dalam pasaran Sekuriti Kerajaan Malaysia yang melibatkan jumlah setiap urus niaga pada amnya sehingga berjuta-juta ringgit. Sebaliknya tidak menjadi masalah untuk pengurus tabung melabur di pasaran ini kerana jumlah yang boleh mereka laburkan pada satu-satu masa. Pelabur institusi, termasuk pengurus tabung Skim Unit Trust, sering menerima peruntukan keutamaan bagi tawaran awam awal untuk saham syarikat yang akan disenaraikan, yang tidak diberikan atau dihadkan kepada pelabur kecil.

No comments:

Post a Comment

Untung Melabur Di Usia Muda, Pulangan Sangat Menguntungkan!

The POWER of Compounding Interest The Snowball Effect atau Compound Interest merupakan idea bijak sekiranya di  awal usia muda mengambi...